Sunday, April 23, 2017

Usaha ibu bapa lahirkan remaja yang mampu berdikari dan bertanggungjawab?

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk melatih anak mereka agar dapat berdikari pada usia yang muda.
Jelaskan kaedah-kaedah yang dapat digunakan oleh ibu bapa untuk melahirkan anak remaja yang mampu berdikari dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Sememangnya wujud segelintir remaja yang masih bergantung pada ibu bapa dan adik-beradik yang lain untuk melakukan sesuatu kerja untuk dirinya sendiri. Fenomena ini sering kali dikaitkan dengan istilah anak manja, anak kesayangan, anak tunggal, anak emas, dan sebagainya tetapi kadangkala panggilan ini berbentuk memandang rendah diri seseorang itu. Masyarakat kita memandang tinggi individu yang mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan keluarga dalam menjalani kehidupan mereka. Lantaran itu, gejala mengharapkan bantuan daripada orang lain dapat diatasi jika ibu bapa sentiasa memberikan peluang kepada individu yang terlibat untuk berdikari dalam hidup ini.

Tindakan yang prakmatik dilakukan oleh ibu bapa dalam mengekang fenomena sosial ini ialah mereka menetapkan beberapa tugas yang perlu dilakukan oleh anak-anak tanpa bantuan orang lain. Antara tugas mudah itu meliputi tugas mengunci jam loceng sebelum tidur, bangun tidur secara sendiri mengikut masa, mengelaskan buku mengikut jadual waktu sekolah, dan membersihkan bilik tidur mereka. Ibu bapa boleh mengawasi anak mereka ketika mula melakukan tugasan ini tetapi kemudiannya membiarkan mereka melakukannya mengikut masa sendiri. Semua tugasan ini boleh dilakukan oleh remaja ketika mereka masih muda lagi lalu berjaya mendidik mereka untuk mengurus hidup dengan baik pada masa depan.

Selain itu, ibu bapa yang bijak sering memberikan ruang kepada anak-anak untuk melakukan rutin harian yang mudah itu. Maknanya, ibu bapa tidak masuk campur tetapi hanya melibatkan diri jika mereka memerlukan bimbingan atau nasihat ketika melakukan sesuatu tugasan itu seperti menghias meja belajar atau mengemaskan almari. Tindakan bijak ini akan mendidik anak untuk melakukan sesuatu terlebih dahuku sebelum meminta bantuan daripada pihak lain ketika mereka mengalami kesukaran hidup. Langkah ini juga boleh mendidik lalu memahamkan anak erti pengalaman menyelesaikan masalah sendiri kerana kaedah ini sama yang akan membantu mereka menjalani kehidupan berdikari pada masa depan bersesuaian dengan peribahasa ukur baju di badan sendiri.

Ibu bapa dalam usaha memupuk sikap berdikari ini tidak boleh terlalu cepat memarahi anak sekiranya mereka melakukan kesalahan dalam kehidupan.  Jiwa anak yang masih muda itu mudah tersinggung apabila dimarahi keterlaluan setelah melakukan kesilapan dalam hidup mereka kelak. Sebaliknya, sikap menegur dan memberikan bimbingan secara berhemah perlulah diamalkan oleh ibu bapa kerana tindakan ini akan membantu anak mereka untuk berdikari dalam aspek pengurusan diri secara berperingkat-peringkat itu. Lama-kelamaan, anak akan mula berasa yakin dengan kemampuan diri walaupun melakukan kesilapan pada peringkat awal kerana ibu bapa tidak terlalu memarahi anak itu.

Tambahan pula, anak-anak boleh diajak oleh ibu bapa untuk melakukan kerja rumah bersama-sama pada setiap masa. Aktiviti membasuh baju, memasak, mengemas rumah dan membersihkan kawasan sekitar rumah menjadi aktiviti yang sesuai untuk dilakukan bersama-sama anak itu. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat menimbulkan minat dalam diri anak-anak untuk melakukan kerja-kerja di rumah pula. Mereka juga akan menjadi semakin mahir dalam melakukan kerja-kerja itu lalu tidak akan berasa janggal untuk melakukan aktiviti ini apabila mereka hidup jauh daripada keluarga pada masa depan.

Usaha mendidik anak menjadi insan berdikari turut berjaya apabila ibu bapa menggunakan kaedah memberi galakan dan pujian kepada anak setiap kali mereka berjaya melakukan sesuatu tugasan dengan baik dan sempurna itu. Motivasi yang diberikan dalam didikan sebegini akan menjadi lebih efektif untuk melatih anak mereka melaksanakan tugasan yang mudah sebelum meminta mereka melakukan perkara yang lebih sukar. Kita harus sedar bahawa jiwa remaja yang masih mentah itu memerlukan suntikan semangat yang positif dan bukannya negatif untuk menjadikan mereka manusia berdikari. Akibatnya, anak akan berasa lebih bersemangat untuk terus melakukan perkara itu kerana menyedari mereka memang mahir dalam tugasan tersebut.

Kesimpulannya, ibu bapa perlulah bertegas untuk melahirkan anak remaja yang mampu berdikari dan terhadap diri sendiri. Langkah ini bukanlah suatu perbuatan yang salah tetapi satu tindakan yang penting buat anak kerana asuhan sebegini memberi mereka kebaikan pada masa hadapan. Kalau hendak melentur bukuh biarlah daripada rebungnya kerana ketika mudalah mereka mudah untuk dibentuk menjadi insan yang berdikari. Jika ibu bapa terus berlengah sudah pasti anak mereka tidak berupaya menjalani kehidupan ini dengan baik.


Wednesday, April 12, 2017

Rancangan televisyen jejaskan budaya masyarakat?

Ada pihak yang berpendapat bahawa rancangan hiburan yang disiarkan melalui televisyen menyebabkan masyarakat lupa tentang budaya seni tradisional.
Beri pendapat anda.
Televisyen sering dianggap sebagai satu ciptaan moden yang banyak membawa kebaikan kepada manusia pada zaman moden ini. Namun, penyiaran pelbagai rancangan berbentuk hiburan telah menyebabkan ada pihak beranggapan bahawa masyarakat mula meminggirkan budaya seni tradisional pula. Keadaan ini diperkuatkan menerusi kenyatan demi kenyataan pihak media massa yang melihat program hiburan sebegini menghancurkan kebudayaan tempatan seperti tarian dan permainan tradisional. Sesungguhnya, penyiaran rancangan hiburan menerusi televisyen membawa masyarakat melupakan kebudayaan tradisional mereka.
Kalau kita kaji secara mendalam kebanyakan rancangan hiburan yang disiarkan itu memaparkan cara berpakaian yang langsung tidak berunsur tradisional. Ada artis terutama dari Barat yang memakai pakaian yang mencolok mata kerana pada mata mereka pakaian sebegini mampu meninggikan lagi populariti seseorang artis itu. Generasi muda yang menonton rancangan hiburan sebegini sudah pasti akan tertarik lalu menganggap cara berpakaian artis itu sahaja yang betul lalu cuba memakainya dalam kehidupan seharian mereka tanpa memikirkan kesan sampingannya. Jelaslah, program hiburan yang disiarkan itu menyebabkan masyarakat kita melupakan cara berpakaian yang seiringan dengan kebudayaan tempatan.
Begitu juga penggunaan bahasa dalam rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen telah menyebabkan kebudayaan tradisional kita terjejas. Akibat aspek masa dan cuba menjadikan rancangan hiburan itu lebih menarik, penggunaan bahasa yang rojak dan tidak tepat digunakan secara meluas sehingga menjadikan masyarakat sukar hendak membezakan penggunaan bahasa yang betul. Keadaan ini menyebabkan ada pihak yang menganggap bahasa dalam televisyen itu lebih betul berbanding dengan tatabahasa yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di negara ini. Maka, kekeliruan sebegini menjadikan bahasa kebangsaan kita akan diperlekehkan penggunaannya oleh pihak-pihak tertentu sehinga menjejaskan imej kebudayaan tradisional negara kita pada jangka masa panjang pula.
Tambahan pula, program berbentuk hiburan itu turut memaparkan pemaparan kesopanan yang bertentangan dengan kebudayaan tradisional kita. Sudah banyak kali kita mendengar komentar masyarakat yang mengaitkan dengan kehilangan adat sopan generasi muda akibat terlalu terpengaruh dengan budaya yang mereka tonton di televisyen itu. Budaya memarahi ibu bapa, bergaduh dengan guru dan mengeluarkan bahasa kesat sudah dianggap biasa kerana masyarakat sering melihat adegan sebegini di televisyen. Jelaslah, masyarakat kita semakin melupakan adat sopan ketimuran yang suatu masa dahulu amat kita banggakan sudah hilang lantaran terlalu banyak menonton adegan yang kurang sesuai di televisyen pula.
Namun, penyiaran program hiburan di televisyen berupaya untuk menghalang pemikiran yang positif dalam diri seseorang itu. Pandangan yang melihat kebudayaan negara itu sendiri sebagai satu kebudayaan yang lemah dan tidak sesuai dengan peredaran zaman dipengaruhi menerusi sikap melihat program hiburan yang keterlaluan itu. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan satu perasaan yang menolak kewujudan kebudayaan tempatan dalam jiwa seseorang tersebut. Jelaslah, program hiburan di televisyen menyebabkan pemikiran seseorang akan berubah lalu memandang rendah kebudayaan tradisional mereka sendiri.
Pada masa yang sama, tindakan menyalahkan televisyen seratus peratus bukanlah satu tindakan yang bijak kerana berlakunya sesuatu perkara itu sudah pasti banyak berkaitan dengan faktor yang lain juga. Pinggiran kebudayaan tradisional kita turut disebabkan sikap generasi muda kita yang tidak begitu memandang tinggi kebudayaan tempatan sehingga sanggup meniru kebudayaan lain pula. Kita menganggap kebudayaan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Barat itu lebih moden dan praktikal lalu segera menirunya tanpa merujuk dahulu aspek menghargai kebudayaan sendiri. Maka, kegagalan menghargai negara, bangsa dan kebudayaan sendiri turut menyebabkan kebudayaan tradisional itu semakin lama semakin hilang ditelan zaman.

Kesimpulannya, rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen itu memang menyebabkan kebudayaan tradisional kita mengalami kemerosotan daripada segi imejnya. Semua pihak terutama pihak berkuasa hendaklah lebih peka untuk membuat peraturan yang mengehadkan penayangan rancangan berbentuk hiburan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kebudayaan tradisional kita itu. Kegagalan berbuat demikian dengan segera akan menyebabkan kebudayaan kita terhakis sedikit demi sedikit lalu hilang akhirnya. Bak kata pepatah “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih” membuktikan semua yang berlaku itu berada dalam ketentuan diri kita sendiri.

Saturday, March 25, 2017

Faktor kejayaan remaja dalam hidup?

Kehidupan zaman moden memerlukan kelayakan sekeping kertas untuk memulakan kehidupan ini. Namun, ada pihak berpendapat masih ada beberapa faktor lain yang penting untuk berjaya dalam kehidupan terutama golongan muda.
Jelaskan.

Kejayaan dalam hidup merujuk perkara yang boleh dicapai oleh seseorang mengikut pemahaman masyarakat zaman ini. Ada yang mengukur kejayaan seseorang berdasarkan kekayaan yang dimiliki dan ada juga yang mengukur mengikut suasana kehidupan yang dialaminya itu. Media massa turut mempersoalkan definisi kejayaan individu menerusi pelbagai program yang disiarkan oleh mereka terutamanya menerusi televisyen. Sebenarnya, ada banyak perkara yang mampu menentukan berjaya atau gagal seseorang dalam kehidupannya.

Faktor penentu kejayaan seseorang banyak dikaitkan dengan sikap diri sendiri dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu. Individu yang gembira melakukan sesuatu pekerjaan walaupun ganjaran melakukan kerja itu agak rendah berbanding dengan kerjaya lain bolehlah dikatakan sudah berjaya. Kepuasan hanya akan wujud apabila melakukan sesuatu pekerjaan secara jujur tanpa mengharapkan sebarang balasan terutama yang berunsur kewangan selain gaji yang diperuntukkan itu. Jelaslah, rasa bangga melakukan sesuatu pekerjaan sudah membawa status berjaya kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, kejayaan dalam hidup turut ditentukan oleh kehidupan berkeluarga seseorang itu. Mereka yang dikelilingi oleh ahli keluarga yang memahami dan selalu menghulurkan sokongan moral bolehlah dikatakan sudah menjalani kehidupan yang berjaya. Setiap hari mereka dipenuhi dengan gelak ketawa ahli keluarga yang pastinya mencuit perasaan sesiapa sahaja yang melihat lalu semua kesusahan kehidupan boleh hilang begitu sahaja. Maka, kejayaan memiliki satu keluarga yang bahagia dan hidup harmoni merupakan satu bentuk kejayaan yang boleh dimiliki oleh semua.

Tambahan pula, kejayaan yang diperoleh menerusi kerja-kerja amal yang dilakukan oleh seseorang itu turut menjadi pengukur kejayaan. Ada individu yang sanggup menghulurkan bantuan kewangan dan tenaga kepada mana-mana badan kebajikan yang menguruskan sesuatu kumpulan manusia yang serba kedaifan itu. Golongan ini berasa gembira kerana usaha mereka boleh membantu pihak yang tidak berkeupayaan untuk menikmati kehidupan dengan lebih baik itu. Sesungguhnya, berjaya dalam hidup boleh dicapai apabila seseorang itu menghabiskan banyak masanya dengan berusaha membantu pihak lain yang memerlukan bantuan tersebut.

Kejayaan dalam hidup boleh diukur menerusi kemampuan seseorang melakukan perkara-perkara yang ingin dicapai dalam hidup mereka. Ada individu yang mempunyai senarai perkara yang ingin dilakukan sebelum mereka menamatkan kehidupan di alam ini. Semua tenaga dan usaha mereka difokuskan untuk merealisasikan perkara-perkara yang hendak dicapai tanpa hilang fokus tersebut. Sebenarnya, golongan sebegini begitu fokus dalam kehidupannya sehingga mereka tidak memikirkan sebarang cabaran yang bakal timbul untuk memperoleh impian yang diharapkan itu.

Faktor terakhir yang menentukan definisi kejayaan dalam hidup ialah aspek kesihatan diri seseorang itu terjaga sepanjang usia. Mereka menjaga kesihatan kerana sedar bahawa kesihatan yang baik akan menjamin kehidupan yang lebih sempurna dan menarik sepanjang masa. Kos perubatan diri mereka tidak akan mengambil sebahagian besar daripada nilai simpanan kerana kesihatan yang baik akan menghalang diri mereka pergi ke hospital dengan kerap. Jadi, mereka yang memiliki tahap kesihatan yang sempurna seharusnya diberi pengiktirafan sebagai golongan yang berjaya dalam mengharungi cabaran kehidupan ini.

Kesimpulannya, takrifan kejayaan seharusnya ditukar daripada aspek kebendaan kepada unsur-unsur yang dihuraikan tadi. Semua pihak harus menerima hakikat bahawa wang tidak boleh membeli semua perkara penting dalam kehidupan ini terutama yang berkaitan dengan kepuasan kehidupan. Bak kata pepatah tepuk dada tanya selera yang membuktikan bahawa kepuasaan dalam menjalani kehidupan bergantung pada keperluan diri seseorang itu. Sudah sampai masanya kita melihat erti kejayaan seseorang di luar batas-batas kebendaan seperti pemilikan rumah dan kereta besar itu.


Sunday, February 12, 2017

Peranan keluarga untuk menggalakkan anak membantu mereka ketika cuti sekolah

Remaja pada zaman ini semakin kurang meluangkan masa untuk membantu ibu bapa di rumah terutama pada musim cuti sekolah.
Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.

Sedarwarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat di negara ini tentang isu remaja yang tidak tahu meluangkan masa untuk membantu ibu bapa di rumah terutama ketika musim cuti tetapi lebih gemar menghabiskan masa di kafe siber atau melepak bersama-sama rakan di pelbagai lokasi. Remaja zaman ini begitu berbeza daripada remaja zaman dahulu yang melihat masa cuti sekolah ialah waktu meringankan beban ibu bapa. Pihak media massa telah menggunakan kelemahan remaja ini untuk menjadikan saluran mereka lebih diminati apabila menyiarkan kelemahan remaja itu saban hari. Sebenarnya, ibu bapa mempunyai tugas berat untuk memastikan remaja membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah apabila cuti sekolah menjelang tiba.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlu merancang pelbagai kegiatan untuk anak-anak mereka ketika musim cuti sekolah kerana golongan ini belum mampu berfikir secara matang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ini meliputi amalan membersihkan rumah dan sebagainya yang boleh mengambil sebahagian besar masa remaja apabila mereka tidak ke sekolah itu. Aktiviti ini juga boleh disertai oleh ibu bapa lalu remaja akan berasa terangsang untuk melakukan perkara itu kerana sedar ibu bapa mereka sendiri melakukan perkara yang serupa. Lama-kelamaan, remaja tidak lagi perlu diingatkan tentang perkara yang perlu dilakukan oleh mereka ketika musim cuti sekolah bermula itu.

Bagi sesetengah ibu bapa pula mereka boleh mengambil cuti ketika anak mereka cuti sekolah untuk menghabiskan masa bersama-sama anak itu. Apabila melihat ibu bapa berada di rumah sudah pasti anak lebih teruja untuk melakukan sebarang kerja rumah yang disuruh oleh ibu bapa kerana mereka mahu ibu bapa berasa bangga dengan hasil kerja itu. Hubungan anak dengan ibu bapa turut menjadi lebih baik kerana mereka melakukan semua kerja rumah bersama-sama dalam suasana yang mesra. Sesungguhnya, ibu bapa yang prihatin akan memastikan diri mereka mengambil cuti sebaik sahaja anak mereka memulakan cuti sekolah tersebut.

Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak mereka balik ke kampung apabila cuti panjang sekolah bermula itu. Golongan muda ini boleh mengenali datuk dan nenek serta ahli keluarga yang lain kerana masa cuti yang panjang dihabiskan di kampung sahaja. Datuk dan nenek turut berupaya mendidik remaja ini erti kehidupan manusia yang sebenar terutama aspek kemanusiaan serta persaudaraan yang penting dalam kehidupan ini. Jelaslah, remaja yang menghabiskan masanya di kampung ketika cuti sekolah akan menjadi insan yang lebih memahami erti kehidupan sebenar di dunia ini.

Tambahan pula, ibu bapa yang berpandangan jauh boleh mengamanahkan kerja-kerja rumah kepada anak mereka ketika cuti sekolah. Kerja ini meliputi aktiviti yang ada kaitan dengan teknologi maklumat seperti komputer, telefon bimbit dan sebagainya kerana golongan muda lebih mahir untuk mengendalikan teknologi sebegini berbanding orang tua mereka. Apabila diberi amanah sebegini sudah pasti remaja itu berasa diri mereka mempunyai sesuatu yang boleh disumbangkan untuk kesejahteraan kehidupan keluarga mereka. Lama-kelamaan, remaja itu akan memiliki rasa jati diri yang positif kerana sedar mereka memiliki sesuatu kelebihan atau kemahiran yang berguna pada masa depan.

Ibu bapa yang peka dengan keperluan anak mereka akan menyusun pelbagai program untuk diikuti oleh anak ketika cuti sekolah. Mereka boleh diminta menghadiri kelas tentang pengurusan rumah tangga, menjahit, memasak, dan sebagainya yang boleh memberikan anak mereka satu kelebihan setelah meninggalkan alam persekolahan kelak. Semua kemahiran yang dipelajari ketika cuti sekolah boleh memberikan satu idea kepada remaja tentang kerjaya yang bakal diceburi oleh mereka pada masa depan. Maka, remaja yang menyertai pelbagai kursus ketika cuti sekolah akan mempunyai satu kelebihan berbanding remaja yang menghabiskan cuti mereka tanpa sebarang aktiviti itu.


Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berusaha menjadikan cuti sekolah anak mereka lebih bernilai dengan menyusun pelbagai aktiviti menarik. Jika mereka gagal melakukan perkara ini sudah pasti anak mereka tidak akan mempelajari apa-apa perkara yang berguna dalam kehidupan kelak. Remaja perlulah memberi peluang kepada ibu bapa dan tidak menolak sebarang arahan ibu bapa mereka apabila diminta melakukan kerja-kerja di rumah. Peribahasa bagai menatang minyak yang penuh membuktikan tugas ibu bapa dalam mendidik anak pada zaman ini begitu rumit tetapi perlu dilakukan dengan penuh kasih sayang. 

Sunday, January 22, 2017

Faktor-faktor rakyat berhijrah ke negara lain

Masalah penghijrahan rakyat ke sesebuah negara perlu dikawal agar nilai kecintaan terhadap negara asal tidak hilang dalam jiwa mereka.
Bincangkan faktor-faktor penghijrahan rakyat sesebuah negara ke negara lain termasuk Malaysia.

Sejak dua atau tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan fenomena penghijrahan rakyat dari pelbagai negara ke negara lain dalam jumlah yang tinggi. Kajian sudah membuktikan bahawa banyak orang berhijrah dari negara yang kurang maju ke negara yang lebih moden seperti rakyat Bangladesh pergi berhijrah ke Malaysia. Berita tentang penghijrahan sebegini telah menjadi bahan utama mana-mana media massa terutamanya televisyen kerana isu ini menarik minat pelbagai pihak atas dasar impak yang berlaku begitu ketara. Jadi, pemahaman tentang punca perkara ini berlaku amat penting supaya semua pihak berupaya untuk menghalang fenomena ini daripada terus menghantui kehidupan masyarakat sejagat.

Sejak awal lagi, perkara ini berlaku kerana peluang kerja yang terhad dan terkawal di sesetengah negara seperti Indonesia dan Bangladesh itu. Situasi ini wujud kerana jumlah penduduk negara-negara ini begitu banyak sehingga mencecah ratusan juta orang yang menyebabkan peluang kerja begitu terhad untuk diperoleh walaupun memiliki pendidikan tinggi. Apabila mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk memperoleh kerja gagal sudah pasti keinginan untuk berhijrah ke negara lain akan bertambah saban hari terutama selepas melihat penderitaan kehidupan keluarga. Maka, penghijrahan secara besar-besaran berlaku kerana golongan ini tidak mempunyai peluang kerja di negara asal itu.

Lantaran itu sehingga kini, punca penghijrahan itu dikaitkan dengan keadaan politik yang tidak stabil terutamanya disebabkan oleh peperangan, perebutan kuasa dan tunjuk perasaan yang keterlaluan. Pergolakan politik yang melanda Syria, Yemen, Thailand, dan Iraq serta Mesir telah mendorong rakyat mereka berhijrah ke negara yang lebih stabil suasana politiknya demi kesejahteraan kehidupan keluarga. Golongan yang berhijrah ini sudah bosan dan tidak tahan dengan kesusahan hidup yang alami apabila negara mereka bergolak itu. Ringkasnya, suasana aman dan damai yang dialami oleh negara jiran itu telah menjadikan lebih banyak pihak berhasrat untuk meninggalkan negara mereka sendiri.

Bagi sesetengah orang, sebab utama perkara ini berlaku dikaitkan dengan aspek kepakaran yang tidak diiktiraf oleh negara asal seseorang itu. Ada golongan cerdik pandai atau ahli akademik yang berasa kemahiran mereka tidak dihargai di negara sendiri lalu berhijrah ke negara lain untuk memperoleh lebih banyak peluang meninggikan pemikiran mereka tentang sesuatu perkara. Pemerintah seperti di negara China yang menahan mana-mana ahli akademik yang mengkritik pemerintahan kerajaan semasa di negara itu tanpa sebarang alasan yang munasabah. Jelaslah, masalah ini boleh dibendung jika pemerintah sesebuah negara itu mengiktiraf dan memberikan insentif yang berpatutan agar golongan cendekiawan ini tidak mempunyai keinginan untuk meninggalkan negara.

Penghijrahan penduduk ke negara lain turut disebabkan oleh keinginan memiliki upah atau gaji yang jauh lebih tinggi dari negara asal. Banyak rakyat Malaysia yang sanggup bekerja di Singapura kerana mereka bakal dibayar gaji yang  begitu lumayan berbanding di Malaysia. Apabila gaji ini ditukar dalam bentuk mata wang ringgit sudah pasti gaji yang diperoleh itu jauh lebih banyak lalu mampu menyara kehidupan mana-mana keluarga di negara ini pula. Akibatnya, kerajaan perlu mempunyai satu ketetapan tentang jumlah gaji yang harus di bayar kepada rakyat supaya mereka tidak dipengaruhi oleh unsur luar negara yang membahayakan itu.

Ada juga pihak yang berhijrah kerana ingin mengalami pengalaman baru di negara asing. Mereka ingin menikmati suasana iklim, budaya, bahasa, dan sebagainya yang jauh berbeza daripada negara asal. Jiwa mereka yang melonjak-lonjak untuk mengalami pengalaman unik ini tidak akan mampu untuk menghalang kedatangan golongan ini walaupun pelbagai kekangan dikenakan kepada golongan yang mahu berhijrah itu. Peribahasa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih membuktikan bahawa apabila seseorang itu sudah menetapkan keinginannya sudah pasti mereka akan melaksanakannya sehingga berjaya tanpa menghiraukan rintangan yang menunggu pula.

Kesimpulannya, penghijarahan warga dunia berlaku disebabkan oleh semua faktor di atas. Kita semua haruslah bersedia untuk menerima realiti bahawa penghijrahan akan berlaku juga. Semua pihak terutamanya rakyat negara ini hendaklah bersikap lebih proaktif dalam melihat situasi ini kerana kedatangan warga asing memang ada kebaikan tertentu pula. Slogan menerima penghijrahan ini dengan tangan terbuka perlulah wujud dalam jiwa rakyat negara ini dan dunia kerana kita semua saling memerlukan untuk meneruskan kehidupan ini.




Thursday, January 12, 2017

Peranan media massa dalam mengetengahkan potensi sastera di Malaysia

Perkembangan sastera di negara ini terus malap terutama di beberapa buah negeri. Banyak pihak melihat sastera sebagai sesuatu yang tidak bermanfaat untuk dikembangkan pengaruhnya dalam masyarakat.
Huraikan peranan media massa dalam persoalan ini.

Media massa merujuk media elektronik dan bukan elektronik yang ada dalam pasaran sekarang. Contoh media massa pada zaman ini meliputi televisyen, radio, internet, akhbar, dan majalah yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia tersebut. Banyak pihak mempersoalkan kesungguhan pihak media massa dalam mempromosikan karya sastera di negara ini terutamanya karya berunsur kemasyarakatan. Maka, perkembangan sastera akan menjadi lebih giat apabila media massa memainkan peranan mereka secara lebih aktif.

Tugas yang boleh dilaksanakan oleh media massa untuk menggiatkan perkembangan sastera di negara ini ialah mereka mengiklankan karya sastera kepada khalayak umum. Mereka boleh memilih buku-buku sastera yang berkualiti untuk diiklankan dalam media massa mereka seperti akhbar dan majalah tersebut. Ulasan dan penerangan tentang keistimewaan sesebuah karya sastera itu boleh dijelaskan lalu minat masyarakat akan muncul untuk memiliki karya itu.  Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta yang menjelaskan bahawa masyarakat akan mula membaca karya sastera apabila ternampak karya ini diiklankan dalam media massa itu.

Selain itu, pihak media massa boleh menerbitkan majalah khusus sastera seperti Dewan Sastera itu. Majalah sebegini boleh menjadi saluran untuk memperkenalkan karya sastera yang menarik untuk tatapan pembaca terutamanya golongan muda. Kritikan sastera juga boleh dilakukan apabila majalah sebegini diterbitkan oleh pihak media massa supaya karya sastera yang dihasilkan pada masa depan lebih berkualiti. Sebenarnya, penerbitan majalah khusus sastera sebegini akan mampu mengetengahkan karya sastera negara di persada dunia pada masa depan.

Tambahan pula, media massa yang prihatin terhadap karya sastera boleh memuatkan satu ruangan khas untuk puisi, sajak, cerpen, drama, dan novel yang menarik untuk pembaca. Apabila ruangan ini disediakan setiap hari atau minggu sudah pasti ada pembaca yang berminat untuk membaca karya sastera itu lalu minat akan tertanam. Ruangan sebegini juga memberi peluang kepada penulis muda atau penggiat sastera yang baru berjinak-jinak dalam dunia sastera untuk meneroka kerjaya tersebut. Akibatnya, dunia sastera negara akan menjadi lebih menarik kerana bukan sahaja pembaca sastera meningkat tetapi jumlah penggiat sastera turut bertambah.

Kajian juga telah membuktikan bahawa ada peminat sastera yang mahu pihak media massa mengambil karya tertentu lalu diadaptasikan ke dalam filem dan drama yang boleh ditonton oleh masyarakat. Pengadaptasian karya sastera ini menjadi filem dan drama memudahkan masyarakat untuk memahami maksud karya sastera tersebut berbanding membaca karya secara terus pula. Pada masa yang sama, tindakan ini turut membantu masyarakat meminati sastera dan bersama-sama meningkatkan imej sastera dalam kehidupan masyarakat umum. Jelaslah, tindakan ini mempunyai kesan yang pelbagai seperti kata peribahasa sambil menyelam minum air itu.

Langkah terakhir yang boleh dilakukan oleh media massa dalam usaha mereka meninggikan karya sastera negara ialah laman sesawang dibina khas untuk sastera terutamanya novel. Arus globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat telah mengetengahkan sastera siber dalam minda pembaca moden itu. Langkah yang bijak ini menggalakkan remaja kita untuk mengikuti perkembangan sastera menerusi internet yang begitu mudah tetapi interaktif pula. Sesungguhnya, penggunaan laman sesawang bersesuaian dengan suasana kehidupan zaman moden yang mengutamakan penggunaan internet itu bak kata pepatah sekali air bah sekali pantai berubah.


Kesimpulannya, media massa bertanggungjawab untuk memastikan karya sastera negara terus hidup dalam era kemodenan teknologi ini. Namun, amanah ini mungkin agak berat buat pihak media massa untuk merealisasikannya dalam masa yang terdekat itu. Pihak kerajaan harus memikul tugas mengekalkan karya sastera ini kerana merekalah yang lebih berkeupayaan untuk melaksanakan amanah tersebut. Peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas membuktikan bahawa karya sastera harus disanjungi oleh masyarakat negara ini tanpa mengira zaman.

Tuesday, January 10, 2017

Ebuku Karangan SPM Siri 2 sudah terbit

Pelajar semua

Saya sudah pun selesai menyiapkan sebuah ebuku karangan SPM yang bertajuk Karangan Isu Semasa SPM Siri 2.

Buku ini merupakan hasil penulisan saya untuk memudahkan pelajar membaca bahan-bahan karangan yang berkualiti tinggi. Bahan ini boleh dimuat naik menerusi halaman web saya (belum lagi) tetapi jika ada pelajar berminat anda hanya emelkan permintaan anda itu kepada saya dan saya akan menghantarnya kepada anda secara percuma meenrusi emel.

Semoga bahan ini mampu menjadikan dunia karangan anda semakin mudah dan menarik.